KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 3)



 (Siri – 3)

oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

Transliterasi Kitab Jala-ul Qulub bi-Zikrillah “جلاء القلوب بذكر الله” oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani رحمه الله تعالى عنه atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal.(Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan. Pembetulan serta tunjuk ajar dari saudara-saudari sekalian merupakan dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: untuk sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada tuanguru, ustaz atau mereka yang berkeahlian dalam mengajar kitab ini, seandainya kita tak memahaminya atau terkeliru. Janganlah diandaikan dengan kefahaman sendiri kerana ditakuti tiada muwafakat dengan maksud penulis kitab. demikian.)

(Maka bermula) jalan takhliyah [mensunyikan atau mengosongkan] untuk baitullah(1) [hati] itu [dengan] dikurangkan makan dan tidur serta diajarkan dia dengan perlahan-Tanah dan membanyakkan sebut لااله إلاالله itu, hampirlah untuk kita jernih hatimu dan hampirlah tajalli Allah atas hatimu. Dan bila menahankan [menegah] dikau oleh nafsu amarah [engkau] daripada tawajjuh kepada Allah, maka engkau mendhoifkan [melemahkan] dia dengan berjaga [malam] dan berlapar dan engkau perangkan dia [nafsu] kerana Allah hingga jadi beradab ia dan jangan ia membimbangkan kita daripada zikrullah.

(Adapun shifat yang tiada patut untuk baitullah(2) itu sepuluh) iaitu
• bershahabat dengan yang lain daripada Allah dan
• lalai daripada Allah dan syirik dengan Allah dan
• tiada berpegang atas Allah dan
• tiada i’tibarkan untuk taqdir Allah dan
• keluh kesah di bala [yang diturunkan oleh] Allah dan
• marah untuk qada’ Allah dan
• takabbur atas makhluk Allah dan
• tiada memelihara amanah Allah dan
• mengitsbatkan wujud haqiqi untuk yang lain daripada Allah.

(Adapun shifat yang lazim) untuk baitullah(3) itu sepuluh juga iaitu
• kasihkan Allah, dan
• mengesakan af’al Allah, dan
• tawajjuh kepada Allah, dan
• tawakkal atas Allah, dan
• serah segala pekerjaan kepadaNya dan
• shabar atas balaNya dan qadha’Nya dan
• menghinakan diri untuk kebesaranNya dan
• berkehendak sebenar-benar kepadaNya, dan
• kaya dengan Allah daripada makhluqNya dan
• fana’ di dalam baqa’ dengan Allah.

(Dan apabila engkau suci) baitullah(4) daripada cemar-cemar shifat [yang] sepuluh yang dahulu dan engkau hiaskan dia dengan sepuluh shifat ini, maka sungguhnya telah engkau menjalankan thariqat auliya’ Allah dan tetaplah hatimu dan ruhmu dengan Allah, dan jadilah engkau menerimakan untuk khithab Allah dengan firmanNya:

يٰأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٱرْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَٱدْخُلِي فِي عِبَادِي وَٱدْخُلِي جَنَّتِي
Artinya: Hai nafsu yang mutmainnah kembali olehmu kepada tuhanmu di hal redha engkau akan Dia dan redha [D]ia akan dikau, maka masuklah olehmu di dalam hambaKu dan masuk olehmu kedalam syurgaKu.

Maka engkau pun perkenankan seruan Allah dan kembali engkau kepadaNya maka [D]ia kasihkan dikau dan jadi engkau redha daripada Allah dan redhakan kita oleh Allah dan engkau berhubung dengan zumrah [golongan] ahlullah dan masuklah engkau akan syurga Allah.

____________________________________________________

(1), (2), (3) dan (4) – Maksudnya hati. Dimana hati yang bershifat lathifah rabbaniyyah itulah tempat tajalliNya

Facebook Comments
Please follow and like us:

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *